SEREMBAN: Satu sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian ditumpaskan polis Negeri Sembilan selepas penahanan enam orang lelaki warga China dalam serbuan semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, serbuan dilakukan di sebuah kawasan perumahan berpagar yang dijadikan markas pusat panggilan sindiket berkenaan di Seremban 2, di sini.
Serbuan dijalankan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
“Kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga China berumur dalam lingkungan 27 hingga 36 tahun.
“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah 14 unit telefon bimbit, satu set komputer, satu unit komputer riba, satu unit mesin pencetak, satu unit router WiFi, 14 keping kad prabayar Telco, dua buah buku nota dan 13 set dokumen skrip,” katanya hari ini.
Tambahnya, kesemua tangkapan telah direman selama empat hari bermula semalam sehingga 24 Mac ini.
“Siasatan dijalankan di bawah Undang-Undang dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959 /1963,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket tersebut beroperasi sejak awal bulan Mac lalu dan menggunakan sebuah rumah sebagai pusat panggilan bagi aktiviti pelaburan dalam talian yang tidak wujud melalui aplikasi sembang Pinduoduo dan Qq.
“Sindiket ini menyasarkan rakyat negara China sebagai mangsa mereka. Sindiket ini menjadikan kawasan perumahan berpagar sebagai hostel dan pejabat operasi. Tugasan yang perlu dilakukan oleh ahli sindiket adalah mendapatkan mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan emas dan ubat-ubatan yang kononnya benar-benar wujud di China.
“Bagi menarik perhatian mangsa, jumlah keuntungan tinggi ditawarkan bagi pelaburan yang bakal disertai itu namun setelah pelaburan dibuat, pelbagai alasan akan diberikan bagi mengelak bayaran keuntungan sehingga akhirnya mangsa tidak dapat menghubungi pihak sindiket,” kata beliau.
Ahmad Dzaffir dalam pada itu memberitahu, sindiket ini tidak melibatkan rakyat di negara ini khususnya di Negeri Sembilan namun orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.-UTUSAN.











