JOHOR BAHRU: Bekerja di Singapura dengan menerima bayaran gaji tinggi, namun masih memilih menjadi gelandangan di bandar raya JB.
Itu realiti kehidupan sebahagian golongan gelandangan yang tidur di jalanan di sekitar bandar raya Johor Bahru sehingga mencemar pemandangan dan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai, termasuk pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata,
ada antara gelandangan tersebut bekerja di Singapura, namun sanggup tidur di sekitar bandar raya ini termasuk membuang sampah, mabuk serta membuang air kecil di kawasan awam.
Kawasan tumpuan pelancong, khususnya di Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook di pusat bandar ini kini dibanjiri gelandangan pada sebelah malam.
“Sebelum ini, saya menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai kehadiran ramai gelandangan di kawasan Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook, termasuk beberapa individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Perbuatan gelandangan memberi kesan kepada penduduk tempatan dan pelancong yang ingin bersiar siar di kawasan tersebut serta menjadi punca kerosakan harta awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Terdahulu, Tian Soon melakukan tinjauan bersama pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kawasan bandar raya Johor Bahru.
Tian Soon berharap MBJB memastikan persekitaran di sini berada dalam keadaan yang ceria dan bersih daripada kegiatan yang tidak baik.
Beliau akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor tentang isu gelandangan. – UTUSAN










