KUALA KRAI: Siak Masjid Mukim Pahi di sini sempat mengajar pemandu kereta jenis Perodua Myvi mengucap dua kalimah syahadah yang tersepit selepas kereta dipandunya bertembung sebuah kereta di Kilometer 76.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, di sini hari ini.
Ismail Mat Yaacob,65, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai melaungkan azan zuhur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan masjid.
Katanya, dia bergegas keluar sebelum terkejut melihat sebuah Perodua Myvi yang sudah terbabas di kawasan parkir masjid manakala kereta Nissan March berada di seberang jalan.
“Saya melihat pemandu Perodua Myvi berada dalam keadaan tersepit dan seorang wanita yang sedang memangku seorang kanak-kanak perempuan di dalam kereta itu sudah tidak sedarkan diri.
“Saya sempat mengajar pemandu kereta itu untuk mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggalkan mangsa bersama beberapa penduduk kampung yang lain kerana ingin menunaikan solat zuhur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mustaza Che Amat, 56, berkata, dia sedang berada di rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.
Menurutnya, dia kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan melihat kemalangan itu melibatkan dua buah kereta sebelum terus membuat panggilan kecemasan.
“Sebaik sahaja selesai membuat panggilan kecemasan, saya menerima arahan untuk turut membantu menghantar mangsa ke Hospital Sultan Ismail Petra memandangkan saya juga pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Pahi,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, empat maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu turut melibatkan empat orang lagi mangsa yang mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian kira-kira dua minit kemudian sebelum mendapati dua buah kereta iaitu kereta jenis Perodua Myvi dan Nissan March terlibat dalam kemalangan.-UTUSAN










