KUALA LUMPUR: Sesi libat urus Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan masyarakat akan diperluaskan ke negeri-negeri bagi melihat apa-apa isu berbangkit mengenai jenayah setempat.
Pengarah JSJ, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, sesi libat urus tersebut bukan sahaja melibatkan beliau sebaliknya semua pegawai kanan JSJ Bukit Aman.
“Macam negeri-negeri besar seperti Pahang, Sabah dan Sarawak, kami akan pecahkan kepada beberapa kumpulan.
“Sesi pertemuan dengan masyarakat akan melibatkan ketiga-tiga timbalan saya dan mereka akan dipecahkan ke kontinjen seterusnya,” kata beliau ketika ditemui dalam program Libat Urus Pengarah JSJ bersama masyarakat di Dewan Pusat Komuniti TTDI di sini hari ini.
Mengulas mengenai program yang diadakan di Kontinjen Kuala Lumpur hari ini, Mohd. Shuhaily berkata, beliau berharap usaha tersebut dapat menjadi pemangkin kepada negeri lain.
Kata beliau, polis Kuala Lumpur adalah jantung kepada Malaysia, jadi kontinjen ini perlu jadi yang terbaik antara yang terbaik.
“Saya secara peribadi, JSJ Kuala Lumpur berada di bandar raya, jadi jabatan ini mesti mempunyai pegawai yang mempunyai dedikasi, motivasi dan ilmu yang cukup tinggi serta baik.
“Ini kerana, masyarakat yang berada di Kuala Lumpur, mempunyai pandangan lebih besar. Daripada amat tinggi kepada amat rendah.
“Jadi, mereka tidak boleh pukul rata dalam menangani sesuatu kes dengan rambang. Pegawai polis Kuala Lumpur perlu sentiasa peka dengan pengadu kes itu sendiri,” jelasnya.
Mohd. Shuhaily juga berharap, sesi libat urus seumpama ini akan diterapkan oleh bakal Ketua Polis Kuala Lumpur baharu, Datuk Rusdi Mohd Isa.
“Beliau (Rusdi) sendiri pernah berada di Kuala Lumpur sebagai Ketua JSJ, dengan pengalaman beliau dan saya rasa Kuala Lumpur akan dipacu Ketua Polis yang berkaliber.
“Semua elemen di bawah JSJ akan dapat memberi satu tahap siasatan yang baik,” ujarnya – UTUSAN










