MELAKA: Trend pembayaran zakat fitrah di negeri ini pada kadar RM14 dan RM21 menunjukkan peningkatan antara 10 hingga 15 peratus berbanding tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, kenaikan itu menunjukkan kesedaran orang ramai yang membuat bayaran zakat fitrah berdasarkan harga semasa beras mengikut gred.
Kata beliau, wujud pertambahan permintaan kupon zakat fitrah bagi kadar RM14 dan RM21 dalam kalangan amil yang dilantik setakat 15 Ramadan.
“Pembayar zakat fitrah yang membayar pada kadar RM7 memang ramai tetapi kita juga dapati terdapat pertambahan bayaran kupon pada kadar RM14 dan RM21. Jadi peratusan kadar ini naik sedikit berbanding tahun lepas.
“Secara tidak langsung dapat membantu kita mencapai sasaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini berjumlah RM5.9 juta berbanding RM5.6 juta pada 2023. Kita berharap momentum ini berterusan sehingga akhir Ramadan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Tautan Kasih Ramadan anjuran Zakat Melaka dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Azmi mengingatkan orang ramai tidak melengahkan pembayaran zakat fitrah sehingga penghujung Ramadan.
Menurutnya, ia bertujuan mengelakkan gangguan terhadap pegawai syarak di masjid disebabkan ramai yang berpusu-pusu mahu membayar zakat fitrah pada saat akhir.
“Memang sudah jadi trend mereka akan tunggu saat akhir. Kita risau bila saat akhir ada yang terlepas dan ada juga yang tidak berjumpa dengan amil.
“Sebenarnya kita ada enam kaedah pembayaran zakat fitrah seperti perbankan dalam talian, kod QR dan MelakaPay. Ramai yang menggunakan kaedah ini selain cara konvensional perlu berjumpa dengan amil untuk membayar zakat fitrah,” ujarnya. – UTUSAN










