PTPTN sasar deposit simpanan SSPN RM3.2 bilion - Utusan Malaysia

PTPTN sasar deposit simpanan SSPN RM3.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan deposit simpanan SSPN  diterima  RM3.2 bilion manakala bayaran balik RM3.1 bilion pada tahun ini. 

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pelbagai strategi dirangka secara menyeluruh merangkumi semua aspek agar sasaran ini dapat dicapai. 

“Penetapan sasaran ini penting bagi memastikan PTPTN terus komited dalam membantu generasi akan datang agar mempunyai sumber kewangan untuk melanjutkan pengajian dan menjadi modal insan berjasa kepada negara.

“Seiring dengan transformasi dunia pendigitalan, PTPTN akan terus komited dalammenambah baik aplikasi myPTPTN bagi memudahkan pelanggan menikmati pelbagai perkhidmatan dalam satu platform,” katanya dalam kenyataan.

Norliza berkata, PTPTN telah mengorak langkah ke hadapan dengan melaksanakan wakaf pendidikan tinggi sebagai salah satu inisiatif bagi mempelbagaikan sumber dana PTPTN bagi tujuan pembiayaan pendidikan tinggi.

“PTPTN telah melakar sejarah baharu dengan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi memastikan pengurusan dan pengagihan Wakaf Tunai PTPTN secara berkesan dan efektif,” katanya.

Katanya, prestasi cemerlang ini adalah komitmen dan dedikasi warga PTPTN di semua

peringkat termasuklah sokongan daripada KPT, Ahli Pengurusan PTPTN serta seluruh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN. 

“PTPTN merakamkan penghargaan kepada semua rakan startegik, pendeposit, peminjam dan para media kerana sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh PTPTN.

“Besar harapan saya agar kecemerlangan ini diteruskan demi memastikan lebih ramai berpeluang menempa kejayaan selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda,” tambah beliau lagi,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN