Projek ECRL rekod tiga penembusan terowong dalam satu hari di Bentong - Utusan Malaysia

Projek ECRL rekod tiga penembusan terowong dalam satu hari di Bentong

PASUKAN MRL Seksyen 7 (dari Kiri), Jurutera Kanan Terowong, Mohamed Atiq Muid, Pengurus Projek Sharil Azhar Noordin, Jurutera Terowong Shahril Iqmal Johari dan Jurutera Terowong Tengku Ahmad Ramadan di tapak pembinaan Terowong ECRL Bentong 1.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjaya menembusi tiga terowong dalam satu hari di daerah ini menjadikan sejumlah 30 terowong di sepanjang jajarannya ditembusi.

Terowong Bentong sepanjang 561 meter, Terowong Kampung Lentang 1 (270 meter) dan Terowong Kampung Lentang 2 (478 meter) berjaya mencatat penembusan lebih awal dari jadual menerusi kaedah gerudi dan letup semalam.

Lapisan kekal untuk Terowong Bentong 1 sudah mencapai 348 meter sebelum penembusan, manakala troli lapisan terowong bagi kerja-kerja lapisan kekal Terowong Kampung Lentang 1 dan Kampung Lentang 2 dalam penyediaan.

Setiap terowong mempunyai purata ketinggian 12 meter dan kelebaran 13 meter, sekali gus menyediakan ruang bagi pengoperasian landasan berkembar tolok standard apabila siap kelak.

Pembinaan terowong di Bentong akan membolehkan landasan kereta api mematuhi kecerunan maksimumnya 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara dan meminimumkan kesan terhadap hidupan liar di kawasan tersebut.

Projek ECRL merangkumi pembinaan 41 terowong dengan jarak keseluruhan kira-kira 69 kilometer di sepanjang jajarannya, 21 terowong terletak di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala 20 terowong di Seksyen C (Mentakab-Port Klang).

Daripada 41 terowong di sepanjang jajaran ECRL, kerja-kerja pengorekan bagi kesemua 21 terowong di Seksyen A dan Seksyen B sudah selesai sejak Ogos 2023, manakala sembilan terowong di Seksyen C juga turut selesai sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, projek ECRL mencapai kejayaan baharu dengan 30 penembusan terowong didokong teknologi pengorekan terowong yang canggih serta dedikasi dan kerjasama erat pasukan ECRL di jajarannya sepanjang 665 kilometer.

“Kami optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke ITT Gombak akan siap pada Disember 2026, memandangkan kerja-kerja pengorekan terowong yang agak mencabar dan kebergantungan keadaan geologi telah berjalan dengan lancar dan mengikut jadual,” katanya.

Berhubung kemajuan projek ECRL, beliau berkata ia sudah mencapai kemajuan keseluruhan 62.40 peratus setakat Februari lalu, disokong kerja-kerja infrastruktur yang pesat termasuk pengorekan terowong, pelancaran rasuk jejambat, pemasangan landasan dan pembinaan stesen.

Projek ECRL disokong oleh 23,000 pekerja di kira-kira 1,900 tapak pembinaan di sepanjang jajarannya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN