KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket curi kabel, besi copper dan aluminium dengan mensasarkan peralatan itu di kawasan tapak projek dan perumahan.
Kegiatan didalangi seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dikenali sebagai Din Beringin bersama rakannya di sekitar Kuala Lumpur yang terbongkar susulan laporan polis berkaitan kes curi kabel di Taman Pelangi, Sentul di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima aduan pada 28 Februari lalu pada 9.25 pagi daripada seorang lelaki tempatan berkaitan kecurian kabel di sebuah loji di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan mendapati kejadian kecurian berlaku pada hari sebelumnya kira-kira pukul 10 pagi.
“Hasil risikan, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan di Jalan Indah 1, Jinjang Utara pada 3 Mac lalu.
“Tangkapan tersebut membabitkan lelaki tempatan berusia 40 tahun dan semakan rekod mendapati supek mempunyai 14 rekod jenayah lampau melibatkan 11 kes dadah dan tiga lagi kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta, alat kawalan jauh, dua telefon bimbit pelbagai jenama, satu guni yang mengandungi beberapa gulung wayar kabel warna hitam yang telah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memotong kabel turut dirampas.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini didalangi dua lelaki tempatan yang diketuai oleh suspek ditahan iaitu Din Beringin.
“Sindiket yang bergiat aktif sejak enam bulan lalu mensasarkan kabel, besi copper dan aluminium di kawasan tapak projek dan perumahan.
Hasil barang-barang yang dicuri itu akan dijual semula di kedai besi buruk untuk mendapatkan wang bagi tujuan membeli dadah,” ujarnya.
Menurut Ahmad Sukarno, pihak polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Ujar beliau, susulan daripada operasi yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak sembilan kes kecurian yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur.
“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang. Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kes kecurian kabel ini di minta untuk menyalurkannya dengan menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03- 40482222,” ujarnya.- UTUSAN










