SUBANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih tegas dan pantas dalam mengambil tindakan terhadap laporan berkaitan gangguan seksual.
Beliau berkata, ia susulan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sudah dikuatkuasakan sepenuhnya dengan tribunal kepada akta itu akan bermula sebagai platform alternatif dalam mengendalikan kes berkaitan.
“Pelaksanaan undang-undang tidak cukup sekiranya penguatkuasaan tidak berkesan maka saya berharap dengan jaminan Ketua Polis Negara, hal ini sekurang-kurangnya kita dapat tangani dengan sebaik mungkin.
“Memalukan bagi negara Madani yang bicara mengenai nilai dan akhlak tapi masih ada laporan dan berita tentang gangguan seksual yang sangat menyakitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mengarahkan Nancy supaya memilih 100 tokoh wanita dalam pelbagai bidang untuk diberikan peruntukan sebanyak RM50,000 setiap seorang dalam menjayakan program berkaitan golongan itu.
“Saya memberi cabaran di peringkat awal untuk memilih 100 tokoh wanita dan Nancy akan cerakinkan kaedah untuk diputuskan bersama.
“Melaluinya, kita akan memberikan sumbangan khas tokoh wanita sebanyak RM50,000, dan tidak terikat terhadap parti politik atau persatuan untuk mengendalikan program berkenaan,” katanya.
Anwar berkata, ini adalah sebagai permulaan dan jika ia berjaya, beliau akan mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah penyertaan dan dana yang akan diberikan pada tahun depan.
“Peringkat awal saya katakan untuk segera 100 wanita yang kita berikan sumbangan RM50,000 untuk mereka cari jalan dan kaedah meningkatkan peranan wanita dan memperhebatkan kegiatan golongan tersebut,” katanya.
Ends//










