KOTA KINABALU: “Sekiranya ketua-ketua cabang dan Presiden (PKR) beri amanah dan tanggungjawab, saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu,”.
Itu jawapan diberikan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud sekiranya beliau diberi tanggungjawab menggantikan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
Namun, perkara itu terserah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pada akhirnya Presiden yang akan memilih ketua cabang yang mendapat sokongan majoriti.
“Terpulang kepada ketua-ketua cabang sebab akhirnya Presiden yang akan memilih ketua cabang yang mendapat sokongan majoriti dan itu yang kami mahu.
“Kalau saya (dipilih), kita tengok macam mana nanti,” katanya ketika ditanya kesediaannya sekiranya dilantik sebagai Pengerusi MPN Sabah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini kelmarin.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah itu berkata, sekiranya Datuk Sangkar Rasam kekal memegang jawatan Pengerusi MPN Sabah, beliau khuatir kepimpinan PKR Sabah tidak dapat bergerak seperti yang diharapkan kerana Sangkar telah hilang kepercayaan 15 ketua-ketua cabang daripada keseluruhan 26 cabang PKR Sabah.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, Presiden PKR, Anwar dijangka turun ke Sabah pada 20 April sempena sambutan Hari Raya peringkat negeri dan seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cabang PKR.
Melalui pertemuan itu, ketua-ketua cabang akan memberi pandangan masing-masing mengenai kemelut yang berlaku kerana apa yang dimahukan sekarang adalah PKR Sabah diperkasa untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.










