GUA MUSANG: Kira-kira 500 penduduk di kawasan Perumahan Bandar Utama Gua Musang (BUGM) di sini gempar apabila kebun durian Musang King yang terletak berhampiran penempatan mereka di Bukit Durian terbakar, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu menyebabkan lebih 10 pokok durian Musang King telah terbakar.
Pengurus Keselamatan dan Kesihatan pekerja Perumahan BUGM, Mohd. Suhairizan Hassan, 43, berkata, kejadian itu disedarinya pada pukul 6 petang selepas dimaklumkan oleh pekerja yang melakukan kerja pertanian di kebun berkenaan.
Menurutnya, terkejut dengan kejadian itu dia terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan bagi memadamkan api.
“Api marak sangat cepat dan penduduk yang tinggal berhampiran kelihatan cemas kerana bimbang api akan merebak ke kawasan rumah mereka yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Alhamdulillah dengan kerjasama daripada pihak bomba, bomba sukarela dan pekerja Bukit Durian kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.30 malam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pengurus projek kawasan BUGM, Norafri Mohd. Nor, 46, berkata, pihaknya juga terkejut selepas melihat kawasan kebun berkenaan tiba-tiba terbakar semalam.
“Kami tidak pasti punca kebakaran itu dan berharap agar penduduk tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas ketika ini.
“Kita bimbang kejadian kebakaran akan berulang dan boleh mengancam keselamatan nyawa penduduk di kawasan perumahan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh ketika dihubungi mengesahkan menerima makluman berkaitan kejadian terbabit pada pukul 6.10 petang.
Katanya, punca serta kerugian yang ditanggung di kawasan kebun durian Musang King masih lagi dalam siasatan.-UTUSAN











