SEREMBAN: Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dan pasukan bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) menjalinkan kerjasama apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pembelajaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) (Automotif/Elektrik) Tahap 2 dalam tempoh setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif KYNS, Mohd. Asyraf Amin berkata, kolaborasi kedua-dua pihak dalam tempoh tiga tahun itu amat signifikan bagi membantu seramai mungkin belia-belia bawah 18 tahun secara berperingkat menceburi bidang kesukanan dan dalam pada masa yang sama mendapat kemahiran teknikal untuk masa depan.
“Selama tempoh setahun tersebut, pelatih belia akan dibiayai yuran pengajian di kolej serta latihan dan juga penginapan disediakan secara percuma. Sehabis pelatih belajar, mereka juga akan diberi biasiswa.
“Latihan oleh NSFC pula, para pemain akan berlatih di tempat latihan di mereka di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah. Ada dua pasukan yang dibentuk iaitu dibawah NSFC seramai 25 orang dan 25 orang lagi dibawah KYNS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU antara KYNS dengan NSFC dan Majlis Peluncuran Pusat Latihan Kepimpinan dan Keusahawanan LETraCe KYNS di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Mohd. Asyraf mewakili KYNS manakala NSFC diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerjasama ini dapat memberi peluang kepada pasukan belia bawah 18 tahun NSFC memperoleh pendidikan dalam aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di samping menjalani latihan dan mewakili Negeri Sembilan.
“Pemain diberi peluang mengikuti pembelajaran dalam bidang kemahiran automotif dan elektrik selain kerjasama ini juga dapat menyediakan pemain-pemain bola sepak yang mantap serta bersedia dan bersemangat untuk mewakili Negeri Sembilan dari peringkat MSSM, Sukma, Piala Belia, Piala Presiden sehingga menjadi pemain bola sepak profesional dan bermain di peringkat Liga Super dan antarabangsa,” katanya.-UTUSAN.









