Pelarian sebagai sumber tenaga kerja

Pelarian sebagai sumber tenaga kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelarian yang berada di negara ini akan dibenarkan bekerja bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor tertentu, selepas kajian terperinci dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi melaksanakan pengumpulan data, pemetaan lokasi dan pengesahan jumlah sebenar pelarian sebelum kebenaran kerja dapat dilaksanakan.

“Sekali lagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mengetuai pelaksanaan (dasar pengambilan pekerja untuk pelarian) ini. Sekarang kami sedang bekerjasama dengan UNHCR untuk membentuk data dulu.

“Apabila data sudah ada, kita boleh buat pemetaan. Sebagai contoh berapa orang (pelarian Rohingya) di Sabah, di Perlis dan Sarawak.

“Katakanlah kita ada data (pelarian Rohingya) di Pahang. Selepas itu, kita tahu ladang mana perlukan pekerja.Kemudian kita letakkan mereka (bekerja) berbanding biarkan begitu sehingga mereka buka warung atau sebagainya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Saifuddin, antara sektor yang dikenal pasti termasuk pertanian dan perlada­ngan dengan berdasarkan keper­luan di sesebuah negeri.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, setakat ini jumlah sebenar pelarian di negara ini masih belum dikenal pasti dan terdapat percanggahan angka daripada kerajaan dan UNHCR.

“Yang sekarang ini kita uruskan pelarian dalam negara kita berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ada pelarian dari 48 negara yang berada dalam rekod kita, iaitu 40,000 didaftarkan.

“Kebanyakan mereka yang datang berumur antara 25 sehingga 40 tahun, masih produktif mampu bekerja. Namun, data UNHCR pula mencatatkan sebanyak 189,000 orang jumlah keberadaan mereka,” jelasnya.

Tambah Saifuddin, kemasukan pelarian ke negara ini bermula sejak Perang Vietnam dengan persetujuan pemimpin pada masa itu.

“Mereka diselamatkan dan dibawa ke bumi Malaysia dan kita setuju sebab mereka mang­sa pelarian kerana perang.

“Maka, UNHCR daftarkan mereka dan kemudian UNHCR mencari negara ketiga. Sebabnya pelarian tidak boleh lama-lama di sini,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Saifuddin, terdapat segelintir pelarian dari negara tertentu yang tidak dapat dihantar pulang disebabkan faktor penolakan di negara asal seperti konflik perang.

“Ada yang kata perang dah tamat tapi pelarian ada lagi? Ini kita bahas kemudian. Tetapi sekarang mereka sudah didaftarkan dan diberi kad (UNHCR) dan sudah ada pun di sini.

“Daripada angka yang didaftarkan, hampir 75 peratus muslim Rohingya. Selagi ada faktor penolakan dari negara mereka dan selagi ASEAN dalam konteks sekarang, isu ini akan berlegar dalam itu juga,” jelasnya.

 

Kaum ‘baharu’  di Malaysia?

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus), Sophian Mohd. Zain berkata, tindakan memberi kebenaran bekerja tidak menyelesaikan lambakan pelarian dan hanya memberi implikasi jangka masa panjang.

Beliau mempersoal tindakan kerajaan dan menggesa agar kerjasama diwujudkan bagi mempercepatkan urusan penghantaran mereka ke negara ketiga.

“Sepatutnya KDN dan UNHCR mencari jalan bagaimana pelarian Rohingya perlu dihantar secepat mungkin ke negara ketiga yang terdiri 148 negara, kerana mereka sudah menandatangani ratifikasi melibatkan pelarian.

“Tapi sekarang, apa sebab nak bagi peluang pekerjaan kepada etnik pelarian? Ini bermakna mereka sudah merampas hak dan peluang pekerjaan dari rakyat Malaysia.

“Kalau untuk sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sekalipun, kita ada kuota pekerja dari negara lain. Mereka juga boleh dihantar pulang ke negara asal selepas tamat kontrak,” katanya.

Tambah Sophian, usaha ter­sebut juga seolah-olah memberi pengiktirafan kepada pelarian sebagai sebahagian penduduk di negara ini.

“Adakah apabila pelarian ini ada gaji, baru nak dihantar ke negara ketiga dan adakah kerajaan nak lepaskan tanggungjawab ( isu penyelesaian lambakan pelarian) ?

“Yang ini kerajaan perlu jelaskan atas dasar apa mereka perlu diberi peluang pekerjaan sedangkan Malaysia telah membuka kuota 2.5 juta pekerja asing,” jelasnya.

Sophian berkata, Malaysia berdepan kesukaran untuk menghantar pelarian seandainya tiada usaha keras dan tekad bagi menyelesaikan isu ini.

“Kalau nak hantar pelarian ke negara ketiga, negara tersebut perlu ada ratifikasi dengan UN. Sebagai contoh negara yang terlibat ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan beberapa negara lain.

“Tapi kita tidak boleh hantar terus dan mesti melalui UNHCR. Bukan hantar ikut suka hati. Malah perlu dapat permintaan daripada negara ketiga dulu. Sebagai contoh, AS dalam tempoh 18 tahun hanya terima 7,000 orang sahaja.

“Finland pun dalam 18 tahun hanya terima seorang sahaja.Kalau nilai macam ni maknanya ada ratusan ribu etnik rohingya dan sampai bila-bila pun kita tidak akan menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Katanya, Malaysia dalam masa yang sama perlu bersedia untuk menerima pelarian terutama etnik Rohingya sebagai kaum ‘baharu’ di negara ini sekiranya kebenaran bekerja diteruskan.

 

Galak pertumbuhan sektor tertentu

Bagi pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, golongan pe­larian untuk bekerja dapat dijadikan sebagai pelengkap kepada kekurangan pekerja dalam sektor tertentu.

Menurutnya, ia dalam masa yang sama dapat menggalakkan pengeluaran dalam bidang pertanian untuk jangka masa panjang.

“Saya ambil contoh penanaman padi. Setakat ini kita masih tidak dapat menghasilkan pengeluaran padi secara penuh walaupun kita ada bendang yang besar di Malaysia.

‘Yang penting, kita perlu susun dengan baik. Kalau kita tanam padi secara manual dengan sistematik, ia boleh hasilkan sampai 12 tan satu hektar berbanding sekarang hanya lima tan,” jelasnya.

Tambahnya, syarikat yang menggunakan pekerja asing dapat mengurangkan bebanan dan kos bayaran levi dan kos lain yang melibatkan pekerja asing.

“Selain itu, gaji untuk pela­rian juga boleh dibayar dengan kadar yang lebih murah. Ini secara tdak langsung dapat menjadi faktor penarik syarikat lain untuk bertapak di negara ini.

“Bagaimanapun, kawalan secara ketat dan pemantauan semestinya perlu dilakukan agar ia tidak menjejaskan warga tempatan dalam segala aspek terutama berkaitan sosial dan ekonomi,” katanya.

WARGA Rohingya melakukan pelbagai pekerjaan di Pasar Borong Selayang dan kehadiran mereka membantu sektor pekerjaan di kawasan itu.

Perlukan pertimbangan teliti, rumit

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani pula berkata, adalah penting untuk kerajaan mendengar dan mempertimbangkan semua panda­ngan ini dalam merancang dan me­laksanakan dasar-dasar yang berkaitan.

Katanya, pelaksanaan dasar ini adalah keputusan yang rumit dan memerlukan pertimbangan teliti terhadap pelbagai faktor, termasuk keperluan tenaga buruh, kesan terhadap pekerja tempatan, keselamatan negara, dan isu-isu sosial yang berkaitan.

“Ada baik dan buruknya dengan dasar seperti ini.Pelarian boleh menyumbang kepada ekonomi negara sebanyak lebih RM3 bilion dengan mengisi 4,000 peluang pekerjaan jika mereka dibenarkan bekerja dalam sektor formal.

“Selain itu, ia dapat menampung kekurangan tenaga kerja dengan mengisi kekosongan dalam sektor-sektor yang mengalami kekurangan tenaga kerja, seperti perladangan,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Effendy, terdapat implikasi lain seandainya ia dilaksanakan.

“Terdapat kebimbangan bahawa pelarian yang bekerja mungkin akan bersaing dengan rakyat tempatan untuk pekerjaan, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Di samping itu, terdapat cabaran dalam integrasi sosial pelarian dalam masyarakat, termasuk isu-isu berkaitan dengan perbezaan budaya dan bahasa,” ujarnya.

Kata Effendy, penting bagi kerajaan untuk melaksanakan dasar ini dengan cara yang adil dan berkesan, sambil memastikan bahawa hak dan kebajikan semua pihak, termasuk pelarian dan rakyat tempatan, dilin­dungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×