TAPAH: “Kawan saya beritahu dia sangat terkejut dan cemas apabila terdengar bunyi kaca pecah dan kemudiannya terhidu bau minyak petrol di dalam kedai.”
Demikian kata seorang pekerja kedai serbaneka KK Mart di Bidor dekat di sini susulan insiden premis perniagaan tersebut dibaling objek dipercayai bom petrol pagi semalam. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sebarang letupan.
Seorang pekerja wanita di kedai itu yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian mencemaskan itu diceritakan oleh rakannya yang bekerja pada waktu syif malam.
“Saya masuk kerja pada pukul 8 pagi. Sebelum saya masuk kerja tadi, kawan saya yang bekerja waktu syif malam menghubungi saya dan memberitahu tentang kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 pagi.
“Dia terkejut kerana kejadian berlaku begitu cepat. Dia kata, tiba-tiba sahaja terdengar bunyi kaca pecah disusuli bau minyak petrol di dalam kedai.
“Rupa-rupanya bunyi kaca tersebut ialah botol kaca mengandungi minyak petrol yang dibaling ke dalam kedai dan pecah. Ini menyebabkan pecahan botol tersebut mengeluarkan bau petrol dalam kedai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut pekerja tersebut, kawannya memberitahu perbuatan itu dilakukan dua individu yang menaiki kereta.
“Dia beritahu saya, seorang daripada mereka memandu kereta dan seorang lagi membaling bom petrol ke dalam kedai.
“Berdasarkan serpihan botol kaca yang dibaling dalam kedai, kawasan saya menemukan perca kain dipercayai sumbu bom petrol pada botol yang dibaling,” katanya.
Kejadian itu berlaku ketika hangat isu stoking bercetak kalimah Allah yang ditemukan dijual di kedai serbaneka tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian itu dan berkata polis telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka tersebut untuk dianalisis.
Menurutnya, setakat ini, bilangan individu yang terlibat dalam kejadian itu masih lagi dalam siasatan.
“Maklumat kejadian khianat itu diterima daripada pekerja kedai serbaneka iaitu seorang wanita berusia 20 tahun yang memberitahu telah terdengar bunyi botol pecah di hadapan premis.
“Pengadu segera membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai.
“Berdasarkan laporan, wanita itu memaklumkan ada terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,” katanya.
Menurut Mohd. Yusri, objek yang dilempar di hadapan kedai serbaneka itu bagaimanapun tidak melibatkan letupan mahupun kebakaran di premis berkenaan. – UTUSAN










