KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Myzahra Malaysia (Myzahra) memfokuskan empat Program Bakul Masyarakat Prihatin bagi membantu golongan kurang upaya (OKU), miskin tegar dan warga emas di negeri ini.
Penasihat Myzahra Datuk Agiel Mohamad berkata, pertubuhan tersebut aktif sejak tiga tahun lepas dan memfokus kepada memberi bantuan Bakul Barangan Keperluan, Bakul Keperluan Peribadi, Bakul Pendidikan dan Bakul Kilat.
Menurut beliau, sumbangan beg sekolah adalah satu bentuk bantuan di bawah Bakul Pendidikan bagi memberi semangat baru kepada anak-anak untuk melangkah ke sesi persekolahan tidak lama lagi.
“ Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban ketua keluarga sejajar dengan moto “Menyantuni Kebajikan Memartabat Masyarakat Madani”.
“Golongan yang tidak bernasib baik terutama fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan B40 menjadi titik fokus MyZahra,“ katanya selepas majlis perasmian Pertubuhan Kebajikan Myzahra Malaysia dan penyampaian Bakul Pendidikan kepada 135 penerima oleh Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman di Mess Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Katanya, Myzahra Malaysia mensasarkan program Bakul Masyarakat Prihatin ini dapat dilaksanakan di semua 14 kawasan Parlimen di Pahang.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menghargai sumbangan MYzahra dalam menyantuni warga polis yang memerlukan sumbangan dana.
Menurut beliau, usaha Kebajikan yang dilakukan Badan Bukan Kerajaan ( NGO) seperti MYZahra sebagai tanggungjawab sosial sekali gus dapat mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.- UTUSAN











