KANGAR: Lebih 500 murid, ibu bapa dan guru menyertai Majlis Iftar Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) Sena yang diadakan secara santai di sekolah berkenaan, semalam.
Konsep iftar tersebut diadakan secara santai dengan pihak sekolah hanya menyediakan tempat dan makanan utama sahaja, manakala selebihnya dibawa oleh peserta bersama keluarga masing-masing.
Murid-murid juga teruja apabila dapat berbuka puasa bersama rakan-rakan dalam majlis berbuka puasa berkenaan.
Guru Besar SK Sena, Azrin Jaya berkata, program berbuka puasa berkenaan diadakan bagi murid tahun enam yang menjadi tahun terakhir mereka di sekolah rendah bersama keluarga masing-masing.
Selain itu, katanya, ia juga bagi meraikan keluaga murid dalam kalangan asnaf.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kita bercadang menjadikan aktiviti berbuka puasa di sekolah sempena bulan Ramadan itu sebagai aktiviti tahunan.
“Ia juga akan diperluaskan lagi selepas ini dengan melibatkan semua warga SK Sena sempena Ramadan akan datang,” katanya.
Kata Azrin, bagi merealisasikan program berkenaan, sekolah juga mendapat sumbangan daripada guru-guru dan kakitangan SK Sena, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga komuniti setempat.
“Apa yang lebih istimewanya tahun ini, solat terawih selepas itu diimamkan oleh seorang pensyarah dari Mesir yang merupakan suami kepada salah seorang guru di sekolah ini.
“Sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan dan pihak sekolah bercadang untuk menjadikan ia sebagai program tahunan setiap kali menjelang Ramadan,” katanya. – UTUSAN










