KOTA BHARU: Parti ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) belum membuat sebarang keputusan berkaitan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor susulan kematian penyandangnya dari DAP Mendiang Lee Kee Hiong.
Pemangku Presidennya Amira Aisya Abd. Aziz berkata, pihaknya melalui Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti akan menyerahkan MUDA Selangor untuk membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu nanti.
“Kita sudahpun berhubung dengan kepimpinan MUDA Selangor dan merekalah yang akan melihat suhu politik di negeri berkenaan serta akan melaporkan sebarang perkembangan atau keputusan kepada kami di peringkat JKEP.
“Buat masa sekarang belum ada apa-apa keputusan dibuat tetapi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Mendiang Lee Kee Hiong dan seluruh parti DAP,” katanya pada satu sidang akhbar sempena Jelajah Pemangku Presiden MUDA, di sini malam tadi.
Amira Aisya berkata, sekiranya tidak bertanding di DUN Kuala Kubu Bharu MUDA akan tetap menjadi suara semak dan imbang serta.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan suara rakyat di kawasan tersebut diangkat dengan mempromosikan mana-mana calon yang betul-betul membawa suara rakyat.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menegaskan, MUDA akan kekal sebagai kuasa ketiga dan tidak pernah memutuskan untuk bekerjasama atau membentuk apa-apa gabungan dengan mana-mana parti politik lain.
“Kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Al-Sagoff bersama blok pembangkang di Parlimen atau saya sendiri di DUN Johor bukan gambaran kepada sebarang kerjasama atau gabungan dengan Perikatan Nasional (PN) atau lain-lain parti politik.
“Kita tidak menentang sebarang kerjasama apabila bercerita mengenai isu rakyat tetapi apabila menyentuh isu politik dan pilihan raya, MUDA kekal bebas sebagai kuasa ketiga,” ujarnya.-UTUSAN










