BUTTERWORTH: Sebuah masjid di Pulau Pinang menerima tajaan untuk berbuka puasa sehingga mencecah RM90,000 daripada 30 penaja sepanjang bulan Ramadan.
Difahamkan tajaan tersebut membolehkan Masjid Sembilang di Seberang Jaya di sini memperuntukkan sehingga RM3,000 untuk menyediakan juadah berbuka kepada kira-kira 400 jemaah pada setiap hari.
Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid Sembilang, Mohd. Naqi@Rashid Md. Ali berkata, pihak masjid memang menyasarkan jumlah jemaah sekitar angka tersebut pada setiap tahun dan juadah pula kebiasaannya disediakan oleh penaja sendiri manakala mereka cuma membantu menyediakan juadah sampingan seperti kuih-muih.
“Sudah 11 tahun kami amalkan tradisi ini dan peruntukan untuk menyediakan makanan bergantung kepada jumlah tajaan yang diterima pada setiap tahun.
“Setakat ini juga boleh dikatakan jumlah tersebut (RM3,000 sehari) tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini dan jumlah itu biasanya memang sudah mencukupi.
“Alhamdulillah. Kita ada banyak penaja dan kebanyakan penaja ini kita sudah jumpa dan berbincang lebih awal iaitu sejak bulan Rejab dan Syaaban lagi sebelum tibanya Ramadan. Jadi, lebih mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mohd. Naqi atau lebih mesra disapa sebagai Mamu Rashid, pihak masjid juga mengagihkan sebanyak 500 bungkus bubur lambuk kepada kariah serta orang ramai yang lalu atau singgah di Masjid Sembilang pada hari pertama Ramadan ini.
“Bagaimanapun, seperti beberapa tahun sebelum ini, kami tidak menyediakan juadah untuk moreh bagi mengelakkan pembaziran memandangkan terdapat lebihan makanan daripada juadah berbuka puasa untuk jemaah yang bersolat tarawih,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Permatang Pasir di Balik Pulau, Muhd. Nazri Othman berkata, pihak masjid membuka empat slot untuk tajaan berbuka puasa pada setiap hari bermula 1 Ramadan dengan setiap slot bernilai RM250. – UTUSAN










