MELAKA: Kos pembedahan kanak-kanak penghidap biliary atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham, 2, masih berbaki RM180,000 untuk dikumpulkan bagi membolehkannya menjalani pemindahan hati di China.
Ibu Nur Khayla Azzahra, Noreen Ismail, 35, berkata, jumlah dana yang berjaya dikumpulkan keluarganya setakat ini melalui sumbangan orang ramai hanyalah lebih RM70,000, yang mana kos keseluruhan pembedahan itu bernilai RM250,000.
Katanya, hari-hari yang berlalu membuatkan dia semakin risau dengan keadaan kesihatan anak bongsunya yang amat memerlukan pembedahan berkenaan.
“Sebelum ini anak saya telah melakukan Kasai procedure sebagai kaedah pertama melibatkan pembedahan duktus hempedu yang rosak. Penyambungan bahagian usus terus ke hati dilakukan supaya hempedu dapat mengalir dari hati ke hati terus ke usus.
“Pembedahan tersebut dilakukan bagi mengelakkan keadaan hati menjadi lebih teruk. Kini Nur Khayla Azzahra memerlukan pembedahan pemindahan hati dengan kos yang lebih tinggi.
“Kami masih memerlukan RM180,000 bagi mencukupkan kos pembedahan berjumlah RM250,000. Saya memohon keprihatinan dan simpati rakyat Malaysia membantu anak saya, masa semakin suntuk, saya tidak sanggup kehilangannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman keluarganya di Taman Desa Baru di sini.
Tambah Noreen, berdasarkan perkongsian sesama keluarga yang mempunyai anak penghidap BA, tempoh masa bagi mengumpulkan dana menjadi faktor utama sama ada anak mereka dapat diselamatkan atau tidak.
“Saya ada masuk satu kumpulan di laman sosial untuk anak-anak yang mempunyai masalah sakit begini, dan sedihnya bila melihat hari-hari ada kanak-kanak meninggal dunia, saya rasa selagi bernyawa saya kena berusaha.
“Saya sanggup berbuat apa sahaja untuk Nur Khayla Azzahra termasuk mendermakan hati saya kepadanya,” ujarnya sayu.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank suaminya, Mohamed Khairul Idhham Khairuddin dengan nombor 569963044145. – UTUSAN










