Malaysia-EU perlu hidupkan semula perbincangan FTA

Malaysia-EU perlu hidupkan semula perbincangan FTA

ANWAR Ibrahim bersalam dengan Datuk Bandar Hamburg, Peter Tschentscher di Hamburg City Hall, Jerman, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMBURG : Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) perlu menghidupkan semula perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan integrasi serantau.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Eropah akan dapat memanfaatkan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia menerusi FTA.

“Kami akan mempermudahkan FTA. Eropah boleh memanfaatkan dasar pasaran terbuka yang dipermudahkan menerusi FTA ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucap tamanya semasa menghadiri acara 101st Ostasiatisches Liebesmahl di Hamburg City Hall, pada Jumaat lalu.

Ostasiatisches Liebesmahl merupakan satu daripada acara tahunan terpenting yang secara tradisinya meraikan hubungan negara itu dengan Asia yang biasanya dihadiri tokoh terkemuka dari bidang ekonomi, politik dan diplomasi.

Ketika ini, Malaysia giat menjalankan ‘scoping exercise’ (menilai dan mengenal pasti risiko) dengan EU untuk menentukan jurang kedudukan dan pendirian Putrajaya dan juga blok bagi FTA yang ditangguhkan sejak 2012.

Jelas Anwar, Malaysia bukan sahaja terbuka menerima perniagaan tetapi juga bersedia untuk bekerjasama dalam usaha niaga berkualiti tinggi yang sejajar dengan matlamat negara dan tanggungjawab global.

Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk membicarakan mengenai kerangka Ekonomi Madani yang mencerminkan komitmen negara untuk memacu Malaysia ke arah menjadi ekonomi utama di Asia serta memacu pembangunan yang mampan dan inklusif.

Anwar berkata, selain hubungan kukuh dengan Jerman dan Eropah, Malaysia juga menjalin hubungan baik dengan China, Jepun, Korea, India dan Australia.

Jelasnya, keperluan utama bagi negara-negara di Asia Tenggara, terutamanya Malaysia, adalah pembangunan, perdagangan dan pertumbuhan, sambil menambah strategi Putrajaya adalah proaktif dan antisipatif serta bukan reaktif.

Jerman adalah rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU sejak 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara ASEAN.
Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengingatkan waris penumpang pesawat Malaysia Airlines, MH370 agar tidak meletakkan harapan tinggi dalam usaha mencari pesawat itu yang hilang sejak 10 tahun lalu.

“Saya tidak mahu memberi mereka harapan palsu bahawa kita boleh mendapatkan jawapan.

“Tetapi saya mahu meyakinkan mereka bahawa kita sedang melakukan segala yang mungkin walaupun ia akhirnya menelan belanja ‘dana yang besar’,” katanya.

Seramai 239 penumpang termasuk lebih 150 warga negara China dan 50 rakyat Malaysia menaiki pesawat berkenaan ketika ia hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 204.

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan Malaysia bersetuju menyertai Climate Club (Kelab Iklim) iaitu sebuah forum antarabangsa untuk pertukaran mengenai pemerkasaan tindakan iklim dan dekarbonisasi industri.

Jelas Anwar , Malaysia boleh memanfaatkan penyertaan itu dari segi pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti.

Kelab Iklim dilancarkan di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (COP28), dengan objektif untuk menyokong pelaksanaan berkesan Perjanjian Paris dan keputusannya. Jerman adalah pengerusi bersama Kelab Iklim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×