PONTIAN: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membaik pulih sebanyak 280 buah rumah golongan asnaf pada tahun ini dengan kos RM7 juta bagi memberi keselesaan kepada mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Ali berkata, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat lima buah rumah untuk dibaik pulih dengan harga siling sebuah sebanyak RM18,000.
Pemilihan bagi menentukan asnaf yang layak menerima bantuan tersebut ditentukan oleh tiga pihak, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Daerah dan MAINJ.
“Peruntukkan ini adalah pembayaran zakat oleh umat Islam di negeri ini dan MAINJ sebagai pengantara akan memulangkan semula kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf dan sebagainya.
“Pendekatan ini adalah cara kami menyantuni pembayar zakat supaya mereka mengetahui bayaran tersebut disalurkan, termasuk bagi program baik pulih dan bina baharu rumah,” katanya selepas Pelancaran Program Baik Pulih Rumah Perdana MAINJ Peringkat Negeri Johor di Kampung Sungai Kuali, Serkat, dekat sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid, ADUN Kukup, Datuk Jefridin Atan dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.
Pada majlis tersebut rumah seorang warga emas, Rahmah Suratman, 74, dibaik pulih.
Nasri berkata, selain baik pulih rumah, MANIJ juga memperuntukkan sebanyak RM8 juta pada tahun ini bagi membina rumah untuk golongan asnaf dan mereka yang memerlukan seperti mangsa bencana.
Katanya, bagi projek membina baharu rumah , MAINJ menetapkan harga siling sebanyak RM65,000 sebuah dengan penerima juga dinilai oleh tiga pihak yang sama, iaitu ADUN, Pejabat Daerah dan MAINJ.
“MAINJ hanya memegang amanah bagi para pembayar zakat yang perlu digunakan sebaik mungkin kepada golongan memerlukan termasuk juga bagi perkara berkaitan kesihatan, pendidikan dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN










