Mahasiswa USIM imam solat tarawih di Osaka, Jepun - Utusan Malaysia

Mahasiswa USIM imam solat tarawih di Osaka, Jepun

WAN Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisyam (kiri) dan Nik Ahmad berlepas ke Osaka, Jepun semalam, untuk menjadi imam jemputan bagi solat tarawih sempena Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai telah diberi tanggungjawab menjadi imam solat tarawih di Osaka, Jepun sepanjang bulan Ramadan ini. 

Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisyam dan Nik Ahmad Nik Aziz yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian menjalani latihan industri di Japan Dakwah Centre (JDC).

Mereka telah ke Jepun semalam untuk menjadi imam jemputan bagi solat tarawih sempena Ramadan di dua tempat secara penggiliran iaitu di JDC dan Osaka Islamic Centre. 

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani, berkata, beliau amat berbangga kerana pelajar USIM dipilih untuk mengetuai solat tarawih di negara matahari terbit itu.

“Ia menunjukkan bahawa USIM mampu melahirkan pelajar berkelayakan dalam bidang pengajian Islam yang bertaraf antarabangsa sesuai dengan falsafah USIM yang mengamalkan integrasi ilmu naqli dan aqli,” katanya. 

Sementara itu, Wan Ahmad Mujahid berkata, peluang berharga diterimanya akan dimanfaatkan sebaik pengalaman hidup serta bagi menabur khidmat kepada masyarakat.

“Doakan saya agar dapat menggalas tugas ini dengan baik dan mendapat keredaan Allah,” katanya.

Nik Ahmad pula berkata, dia teruja dan berbesar hati dengan peluang yang diterimanya itu.

“Harapan saya, semoga saya selalu diberi kesihatan oleh Allah SWT supaya  dapat berkhidmat dan berbakti untuk Islam selama saya di sini, di Osaka, Jepun,” katanya. 

Kedua-dua mereka akan berada di Osaka selama 40 hari dan dijangka kembali ke Malaysia pada 20 April ini untuk menghabiskan latihan industri di Pusat Islam USIM.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×