Lelaki Singapura sembunyi dalam but kereta masuk Malaysia - Utusan Malaysia

Lelaki Singapura sembunyi dalam but kereta masuk Malaysia

Aminul Izmeer (duduk tengah) menunjukkan gambar keadaan seorang lelaki Singapura yang ditemui bersembunyi di bahagian but belakang Perodua Myvi di CIQ BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki warga Singapura membayar dua wanita sebanyak 3,000 dolar Singapura (RM10,550) bagi menyeludupnya masuk ke negara ini untuk bekerja.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, kejadian itu dikesan pihak berkuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, pada pukul 3.30 petang, 13 Disember lalu.

Menurut beliau, lelaki yang berusia 50-an itu dikesan bersembunyi di bahagian but belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi model lama yang bernombor pendaftaran Malaysia.

“Siasatan dibuat mendapati lelaki warga Singapura berkenaan tidak memiliki pasport, dan telah bertindak mengupah dua wanita Malaysia sebanyak 3,000 dolar Singapura untuk menyeludupnya masuk ke negara ini.

“Tindakan tersebut bagaimanapun mengundang padah apabila pegawai Kastam yang membuat pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati seorang lelaki sedang bersembunyi di bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini hari ini.

Tambah Aminul Izmeer, pegawai Kastam bertindak melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu selepas mendapati kenderaan itu dalam keadaan mendap.

“Lelaki berkenaan dipercayai tidak mempunyai pasport kerana mempunyai masalah perundangan di negara asalnya.

“Tindakan mahkamah telah dibuat terhadap ketiga-tiga individu terlibat, dengan kedua-dua wanita tempatan dituduh mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala lelaki tersebut didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan dijatuhkan hukuman hukuman penjara tiga bulan,” ujarnya.

Aminul Izmeer turut memaklumkan suspek lelaki itu sudahdihantar pulang ke negaranya pada pertengahan bulan lalu bagi berdepan tindakan undang-undang republik berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN