Kutipan zakat di Melaka cecah RM128 juta

Kutipan zakat di Melaka cecah RM128 juta

AB. RAUF Yusoh bersama penerima surat lantikan sepanjang Ramadan selepas melancarkan Program Ihya Ramadan peringkat negeri di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kutipan zakat di Melaka tahun lalu mencatatkan pencapaian memberangsangkan sehingga mencapai sasaran ditetapkan berjumlah RM128.3 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu termasuk kutipan zakat fitrah berjumlah RM5.75 juta berbanding 2022 iaitu sebanyak RM5.6 juta.

Menurutnya, Pusat Zakat Melaka menyasarkan RM5.9 juta kutipan zakat fitrah tahun ini.

“Saya percaya dengan kesungguhan para amil yang dilantik serta kerjasama daripada semua pihak dengan mempelbagaikan kaedah dan medium pembayaran zakat fitrah, ia dapat mempermudahkan lagi urusan atau proses pembayaran zakat.

“Insya-Allah, Zakat Melaka pasti akan mencatatkan prestasi kutipan zakat fitrah yang cemerlang lagi bagi 2024 ini,” katanya ketika berucap melancarkan Program Ihya Ramadan peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri akan menganjurkan Bulan Pelancongan Islam sepanjang Ramadan ini bertemakan ‘Dari Hati Membawa Ke Syurga’.

Menurutnya, penganjuran itu bagi memeriahkan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dengan kira-kira 400 acara bakal dilaksanakan di surau dan masjid seluruh negeri ini.

“Antara lokasi menjadi tumpuan di Pavilion Dataran Pahlawan dan beberapa lokasi terpilih seperti Seminar Rukyah dan Hisab, Malam Semarak Haruman Ramadan, Jom Rewang Bubur Lambuk dan banyak lagi.

“Kita meletakkan pelbagai program untuk menjadikan Ramadan ini penuh ibadah di seluruh negeri. Kita cuba memberikan pengisian ini menjurus kepada keberkatan Ramadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN