Kutipan sampah dipercepat, SWM gerakkan 4,500 pekerja, 580 jentera - Utusan Malaysia

Kutipan sampah dipercepat, SWM gerakkan 4,500 pekerja, 580 jentera

MOHD. NORLISAM Mohd. Nordin (tiga dari kiri) bersama pegawai kanannya menunjukkan slogan kerja SWM dalam sidang media di Hotel Holiday Inn, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kutipan sampah di kawasan perumahan di seluruh negeri ini akan dipercepat sehari bagi memberi laluan terhadap sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, sekiranya Aidilfitri jatuh pada 10 April, kutipan sampah akan dilaksanakan bermula 6 April hingga 9 April dan menjangkakan peningkatan jumlah sampah sehingga 20 peratus sempena Aidilfitri tahun ini.

“Seramai 4,500 kakitangan bersama 580 jentera kutipan sampah akan menjalankan tanggungjawab mereka di kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

“Jangkaan 20 peratus peningkatan jumlah sampah itu turut melibatkan sampah bersaiz besar seperti perabot. Jadi, kita gesa mereka untuk letakkan sampah sedemikian di sebelah tong sampah bagi memudahkan kerja-kerja kutipan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Holiday Inn, di sini.

Pihaknya turut menyasarkan 175 lokasi tumpuan bagi kerja-kerja kutipan sampah sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri tahun ini, khususnya kawasan berkepadatan tinggi penduduk beragama Islam.

“Antara kawasan itu termasuk Tampoi, Kempas, Larkin, Bandar Tenggara, Kampung Melayu Majidee dan Taman Perling, selain pusat bandar dan juga laluan-laluan utama di seluruh negeri.

“Sehubungan itu, kami meminta kerjasama orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang boleh menghalang pergerakan jentera kutipan sampah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad pula memberitahu, pihaknya telah menyelamatkan 2,248.28 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman dari 46 bazar Ramadan di seluruh negeri ini setakat kelmarin.

“Program tersebut dibuat menerusi kempen MySaveFood yang mula dilaksanakan sejak hari pertama umat Islam berpuasa.

“Kesemua makanan dan minuman yang diselamatkan kemudiannya disumbangkan kepada golongan memerlukan termasuk di masjid dan institusi pengajian tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×