SEREMBAN: Sebuah syarikat kilang kelapa sawit di Gemas, Tampin dihukum denda sebanyak RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban sini, hari ini atas lapan pertuduhan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Hakim, Diana Md Razali menjatuhkan hukuman denda itu di akhir keputusan kes pembelaan selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan yang diwakili oleh jurutera syarikat selaku wakil orang kena saman (OKS).
Enam daripada lapan pertuduhan berkenaan pencemaran udara dan alat kawalannya dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 manakala dua lagi pertuduhan membabitkan kesalahan gagal mematuhi syarat dalam lesen dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000.
Kesemua pertuduhan itu dilakukan di antara tahun 2020 sehingga 2021.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Muhamad Fitri Soroni dan Zainoorliza Zainal Abidin manakala OKS diwakili peguam, Joseph Mathews.
Terdahulu, peguam memohon hukuman denda yang rendah dengan mengambil kira syarikat mempunyai reputasi yang baik sebelum ini dan telah menjalankan perniagaan tersebut secara besar-besaran sejak tahun 2011.
“Imej dijaga dengan baik sepanjang 13 tahun menjalankan operasi di sini. Pada masa kejadian, pihak pendakwa telah menjalankan siasatan pada masa Covid-19 melanda negara dan perlu dipertimbangkan terdapat sekatan yang diamalkan kerajaan berhubung berapa ramai pekerja yang boleh memasuki kilang atau sesuatu tempat untuk bekerja.
“Kilang juga telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara yang tidak lagi bergantung kepada biji timah dan juga getah,” katanya sambil menekankan OKS merupakan majikan yang telah memberikan pekerjaan kepada beratus-ratus orang bukan hanya di Gemas tetapi juga Segamat, Johor.
Bagaimanapun pihak pendakwaan dalam hujahan mereka memohon hukuman maksimum dikenakan dan menegaskan kesan pelepasan asap hitam mengganggu serta mengancam sumber alam, ekosistem dan kesihatan manusia.
“Untuk makluman mahkamah, pelepasan asap hitam dari cerobong OKS dikenali sebagai PM10, sebesar 10 mikrometer dan 2.5 mikro meter.
“Secara umum kesan kesihatan yang mungkin terjadi kepada manusia dan haiwan yang terpaksa bernafas dengan keadaan di mana terdapat pepejal terampai meresap dalam sistem pernafasan paru-paru dan memberi pernafasan teruk kepada pesakit asma.
“Asap hitam juga akan meningkatkan risiko, serangan jantung, strok dan tekanan darah tinggi,” katanya selain menegaskan pelepasan asap hitam juga boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara serta perubahan iklim.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 29 Mac 2021 seramai lima saksi dipanggil memberi keterangan.-UTUSAN.











