KUALA PILAH: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sebanyak RM18.9 juta tahun ini bagi melahirkan 1,500 usahawan rintis seluruh negara melalui Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) dan Quick Win di setiap negeri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, program berkenaan merupakan antara usaha Kemas dalam melahirkan ekosistem keusahawanan penduduk luar bandar yang holistik dan kondusif serta mampu bersaing ke pasaran yang lebih luas.
Menurutnya, untuk Negeri Sembilan sahaja, sebanyak RM608,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program kemahiran dan melahirkan usahawan rintis yang berteraskan peningkatan pendapatan dan ekonomi termasuk para wanita dan belia.
“Ini juga merupakan salah satu usaha Kemas menyokong agenda utama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung baru-baru ini dalam pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
“Usahawan Rintis Kemas juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekonomi Bumiputera dan bersedia untuk menyumbang idea, pengalaman, dan semangat untuk mencapai matlamat pemerkasaan ekonomi yang lebih baik bagi semua Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024, di Dataran Melang, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Dalam pada itu, ujar beliau, sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi Kemas Negeri Sembilan untuk melaksanakan Kursus Kemahiran Quick Win.
Ia melibatkan bidang Dandanan Diri (Jurugaya Rambut), Seni Tangan (Dekorasi Belon), Jahitan (Pukal Industri) dan Masakan (Retort).
Selain itu menurut beliau, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan kepada Kemas Negeri Sembilan bagi kerja naik taraf dan baik pulih kelas kemahiran.
Ia merangkumi empat premis Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas (PKM) Jelebu dan Pusat Masakan di PKM Batu Kikir termasuk naik taraf pejabat.-UTUSAN.











