KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memohon maaf dan mengakui tidak mampu menyelenggara serta menyediakan bekalan air bersih mencukupi kepada rakyat sepanjang musim kemarau yang sedang melanda negeri ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin berkata, hal ini kerana kesemua langkah penyelesaian mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan.
“Jadi…saya mohon maaf kerana kita terpaksa dan sudah tidak boleh buat apa. Kerajaan perlu buat penambahbaikan untuk menambah jumlah air bagi memenuhi keperluan rakyat dan semua proses terlibat termasuk penambahan sebanyak 20 juta liter air akan mengambil masa.
“Saya juga tidak mahu menyalahkan sesiapa. Kempimpinan AKSB terdahulu sudah melakukan yang terbaik dan kini tiba masa untuk kepimpinan baharu berbuat lebih baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Mega Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil.1/2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dr. Izani memberitahu, kerajaan negeri bersama syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd akan cuba mencari jalan penyelesaian kerana masalah bekalan air bersih perlu diberikan keutamaan.
“Kita tidak boleh menyangkal apabila cukup 70 juta liter air nanti, kita perlu meningkatkan lagi kuantiti air berikutan faktor pertambahan populasi rakyat, rumah dan akaun pengguna. Ditambah pula daya tahan paip-paip lama terhadap tekanan air semakin berkurang.
“Semua perkara ini akan dilihat kembali. Saya faham kita sudah bersabar sejak 30 hingga 40 tahun lalu tetapi saya berharap agar rakyat bersabar untuk sedikit masa lagi. Kita akan usahakan agar dalam tempoh masa tertentu bekalan air bersih sampai kepada rakyat,” ujarnya.
Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB itu berkata, terdapat tiga permasalahan utama berkaitan bekalan air bersih di negeri ini iaitu sumber air, loji rawatan dan distribusi bekalan air.
“Kita mempunyai masalah sedikit sebanyak dalam ketiga-tiga perkara berkenaan dan dalam menyelesaikan masalah bekalan air terutama pada musim kemarau ini, perlu ada kerjasama antara kerajaan negeri dan rakyat.
“Saya akan adakan satu program bersama AKSB untuk melihat kawasan-kawasan terkesan teruk dan benar-benar memerlukan kita menggunakan khidmat lori air kontrak untuk menyampaikan bekalan air bersih kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, rakyat dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah perlu termasuk berjimat dalam penggunaan air dan menyediakan bekas atau tangki simpanan air bagi tujuan kecemasan.-UTUSAN










