KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bercadang membina tugu peringatan dalam laut bagi menandai titik pendaratan pertama tentera Jepun di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa semasa menjajah negara ini pada 8 Disember 1941 lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor bagaimanapun berkata, cadangan tersebut perlu melalui beberapa proses pelaksanaan yang cukup rumit termasuk mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Jepun.
“Memang sudah ada tugu peringatan di pantai itu, tetapi ia tidak berada pada titik pendaratan sebenar yang kini berada di tengah lautan.
“Cadangan itu, perlu bermula dengan usaha untuk mencari maklumat serta mengenali batalion tentera Jepun yang mendarat di Pantai Kuala Pak Amat pada tahun 1941 itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengedarkan sebanyak 400 bubur pulut hitam pada Program Manis Ramadan anjuran Jewels Hotel, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu memberitahu, perkara tersebut kemudiannya akan disusuli dengan usaha menjejaki waris-waris anggota tentera Jepun terlibat termasuk mencari dana bagi membina tugu peringatan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri yakin usaha berkenaan akan mendapat maklum balas positif daripada berkaitan kerana ia mempunyai kaitan sejarah Perang Dunia Kedua.
“Yang pasti cadangan membina tugu peringatan ini sekiranya benar-benar direalisasikan akan memerlukan kos yang agak tinggi. Namun bagi saya ia wajar dilaksanakan dalam usaha memulihara warisan sejarah negeri, negara dan dunia.
“Kita mahu membina sebuah mercu tanda untuk menunjukkan tempat pendaratan sebenar tentera Jepun dan pada masa sama sebuah monumen untuk memperingati sebuah sejarah dunia yang berlaku di negara ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata sambutan bulan puasa sudahpun menjadi sebuah produk pelancongan di Kelantan terutama dengan adanya penganjuran Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
“Madinah Ramadan sememangnya mampu menarik perhatian pengunjung tempatan, luar negeri malah pelancong antarabangsa untuk merasai sendiri kemeriahan serta keunikan sambutan Ramadan di negeri ini,” ujarnya.-UTUSAN










