Kastam patahkan penyeludupan barangan bernilai lebih RM1.16j

Kastam patahkan penyeludupan barangan bernilai lebih RM1.16 juta

NORLELA ISMAIL(tengah) menunjukkan barang rampasan elektronik dan kontraban di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ AMINNUDIN LOKMAN HAKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan sindiket penyeludupan dengan merampas barangan elektronik dan kontraban termasuk rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.16 juta dalam tiga operasi berasingan.

Menurut Penolong ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, jumlah cukai dan duti barangan rampasan tersebut berjumlah lebih RM1.3 juta.

Beliau berkata, rampasan pertama dibuat pada 16 Februari lalu membabitkan percubaan membawa masuk dagangan kontena iaitu barangan elektronik berupa televisyen android yang telah diikrarkan sebagai marmar.

Katanya, kontena bersaiz 40 kaki dari pelabuhan utara tersebut telah membawa dagangan televisyen android dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaaan mendapati, ia muatan elektronik dianggarkan bernilai sebanyak RM450,000.00 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM190,480.00.” katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Norlela berkata, seorang ejen forwarding lelaki turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam operasi kedua pada 27 Februari lalu pula katanya, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), berjaya mematahkan aktiviti penyimpanan rokok seludup di sebuah rumah di Jalan Banjaran, Kempas Baru, Johor.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama tiada dokumen, dianggarkan bernilai RM77,600.00 membabitkan cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM282,000.00.

“Siasatan berkaitan pemilik premis rumah masih sedang dijalankan dan kes ini juga  disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Operasi ketiga pula dijalankan pada 6 Mac lalu di mana JKDM berjaya mematahkan aktiviti penyimpanan minuman keras disyaki tiada dokumen sah, melalui serbuan di sebuah rumah di Jalan Terasek, Bangsar Baru dekat sini.

Hasil serbuan, terdapat minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM635,000.00 dengan cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM812,000.00.

“Kami juga telah menahan seorang warganegara berumur 60an di tempat kejadian dan disyaki bekerja sebagai penjaga rumah.  Modus operandi utama kegiatan ini adalah sindiket menyewa rumah kediaman dan menyimpan bekalan sebelum diedarkan di Pasaran Lembah Klang.” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta kastam 1967 dan meminta orang ramai membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×