'Kalau dia tidak hidup, berikan jasadnya'

‘Kalau dia tidak hidup, berikan jasadnya’

NORAINI Alwi menunjukkan gambar suasana ketika upacara pengebumian Muhamad Sufian di Pulau Bintan, Indonesia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: ‘Kalau dia tidak hidup, berikan jasadnya’. Itu adalah doa seorang ibu yang dimakbulkan selepas lapan hari anaknya hilang di lautan.

Noraini Alwi, 36, berkata, ibunya Soom Yassin, 65, tidak pernah berputus asa berdoa setiap hari sehinggalah jasad adiknya, Muhamad Sufian, 32, ditemukan di Pulau Bintan, Indonesia pada 15 Mac lalu.

Muhamad Sufian adalah anak kedua daripada empat beradik menetap bersamanya dan ibu serta dua beradik lain di Kampung Air Tawar, Endau, dekat sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kejadian menimpa adiknya yang terjatuh bot ketika menarik pukat di Pulau Pemanggil pada 8 Mac lalu sebelum hilang memberi kesan mendalam kepada ibunya.

“Sejak adik hilang emak banyak termenung, tak lalu makan dan kesihatannya juga merudum. Setiap hari kami sekeluarga melakukan solat hajat untuk adik.

“Pada awalnya emak berasakan adik masih hidup dan setiap hari ternanti-nanti kepulangannya. Semakin berlalu hari, emak mula berserah dan berdoa jika adik masih hidup baliklah dan sebaliknya jika tidak hidup beri jasadnya.

“Keadaan emak masih terkejut selepas mayat adik dijumpai di Indonesia, namun kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya jasadnya ditemukan. Sehingga kini emak masih banyak mendiamkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Noraini berkata, adiknya itu seorang yang pandai berenang dan pernah sekali terjatuh ke dalam laut namun dapat menyelamatkan diri.

Muhamad Sufian menjadi nelayan sejak enam tahun lalu dan memiliki dua cahaya mata namun telah berpisah dengan isterinya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, terutamanya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membantunya ke Indonesia untuk proses pengecaman jenazah adiknya.

Meskipun jenazah adiknya itu terpaksa dikebumikan di Indonesia, namun keluarganya bersyukur kerana sekurang-kurangnya Muhamad Sufian mempunyai pusara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini