KUANTAN: Setelah diamalkan selama kira-kira 123 tahun sejak 1900, kadar mas kahwin di Pahang berjumlah RM22.50 dinaikkan bermula RM100.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kadar yang diperkenankan itu bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.
“Maka hari ini saya memperkenankan pindaan kadar mas kahwin di negeri Pahang iaitu bermula dengan kadar RM100. Kadar baharu ini adalah lebih munasabah sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.
“Namun penentuan kadar maksimumnya adalah tertakluk kepada kemampuan dan peruntukan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Insya-Allah kerajaan pun dah lulus,” titah baginda pada majlis perasmian Masjid Al-Hidayah Alor Akar serta Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah di sini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, berdasarkan Seksyen 21 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005, kadar RM22.50 diamalkan sejak 1900 dan pastinya sudah berlaku perubahan nilai dan faedah yang begitu ketara pada masa ini.
Baginda dalam pada itu turut mengingatkan masyarakat untuk membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah.
“Setiap keluarga perlu hidup dengan kasih sayang, bertolak ansur dan mengamalkan sifat-sifat yang baik sebagai asas pembentukan keluarga bahagia,” titah baginda. – UTUSAN










