KUALA LUMPUR: Penambahan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membentuk Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) belum dimuktamadkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbincangan akan dibuat antara PDRM dan Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali dalam masa terdekat.
Menurut beliau, jumlah kekuatan polis berkemungkinan menyertai MCBA adalah berdasarkan cadangan yang akan dibuat oleh Hazani.
“Pertukaran pegawai dan anggota PDRM ke MCBA ini ada proses-proses tertentu yang perlu dilihat.
“Bukan hak saya untuk menentukan dan semua keputusan bergantung kepada kerajaan khususnya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol, di sini hari ini.
TEPAT
Sementara itu, Razarudin juga menyifatkan pelantikan Hazani sebagai Ketua Pengarah MCBA tepat kerana beliau mampu menyusun agensi itu dengan pengalaman beliau dalam menjaga keselamatan sempadan.
“Sebelum ini, beliau (Hazani) antara yang terlibat dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selain berpengalaman luas ketika menerajui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“PDRM sebenarnya kehilangan pegawai yang berkaliber dan berkelayakan. Bagaimana kita sentiasa menyokong dan berbesar hati terhadap Inspirasi kerajaan dalam menubuhkan MCBA ini,” jelasnya.
Pada 31 Januari lalu Hazani dilantik sebagai Ketua Pengarah MCBS oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media khas sebaik selesai Mesyuarat Jemaah Menteri.
Saifuddin berkata, tugas pertama Hazani adalah menyegerakan pembikinan rang undang-undang untuk menjelmakan entiti MCBA.
MCBA adalah agensi tunggal yang akan mengawal selia sempadan negara bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
Ia dijangka beroperasi selepas undang-undang khas digubal pada Jun nanti dengan sembilan pintu masuk akan dijadikan sebagai projek rintis.
Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, dengan penerimaan 7,648 unit kamera badan (BWC) pada Oktober ini sekurang-kurangnya dapat menghindar tohmahan warga PDRM.
“Selain itu, ia boleh membuatkan pegawai dan anggota kita lebih bertanggungjawab,” katanya.- UTUSAN









