PETALING JAYA: Kewujudan rangkaian jalan tikus adalah antara punca Malaysia terus menjadi pilihan kartel-kartel dadah terutama di Asia Tenggara sebagai pusat transit bahan larangan tersebut.
Hal itu mengakibatkan indeks jenayah bagi berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah tahun lalu tidak turun berbanding kesalahan-kesalahan atau jenayah lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pengedar dadah menjadikan Malaysia sebagai laluan dadah juga menyebabkan ramai rakyat Malaysia terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
SEMPADAN
Kata beliau, risikan pihak berkuasa mendapati terdapat banyak jalan tikus dalam negara terutama di kawasan-kawasan sempadan yang memudahkan kartel dadah itu membawa masuk barangan tersebut.
“Baru-baru ini saya mempengerusikan mesyuarat kerjasama jawatankuasa antara sempadan, di mana saya diberi taklimat tentang kewujudan jalan-jalan ‘tikus’ iaitu jalan yang tidak diwartakan oleh negara kita dan negara jiran.
“Jalan ‘tikus’ paling banyak adalah di sempadan Perlis, Kedah dan Kelantan. Ia merupakan antara laluan utama,” kata beliau ketika ditemu bual Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Statistik Penyalahgunaan dan Penagih Dadah serta Bahan bagi tahun 2023 oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati, sebanyak 128,911 orang terlibat dan 95.8 peratus daripadanya adalah lelaki.
Belia dalam kalangan mereka yang berumur 19 ke 39 tahun antara yang paling banyak terlibat dengan 61.8 peratus diikuti dewasa (37.2 peratus), remaja (0.9 peratus) dan dua kanak-kanak di bawah 12 tahun.
TERLIBAT
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan terus meningkatkan usaha supaya kartel dadah dapat dibanteras demi memastikan rakyat Malaysia tidak terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.
“Sudah tentu kita meningkatkan keupayaan mengawal sempadan dan melakukan kerjasama dengan negara-negara jiran daripada segi pertukaran matlumat risikan iaitu perkongsian kapasiti.
“Di Kelantan, pasukan polis di sana memberitahu saya slogan mereka adalah tiada hari tanpa tangkapan dadah di Sungai Golok. Ini keadaan yang berlaku sekarang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membangunkan sebuah pangkalan data yang kompeten yang mampu mengesan jenis dadah dan di kawasan mana ia berada dalam negara.
“Mereka juga sentiasa mengawasi kawasan-kawasan yang dianggap sebagai laluan tikus. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan baru-baru ini, kita minta kerjasama daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merobohkan jeti haram,” katanya.
Menurut Saifuddin, ancaman yang terus menerus berlaku dalam negara memerlukan pihak penguat kuasa bersedia setiap 24 jam bagi menjaga keselamatan negara.
“Sempadan darat dan laut kita adalah 4,000 kilometer (km) tetapi laut 590,000 km persegi. Maknanya kita hadapi penyeludupan senjata, manusia, barang perlu, dadah dan serangan lanun. Ini semua berlaku setiap masa,’’ katanya. – UTUSAN











