PONTIAN: Gara-gara pemberian ayam golek percuma, jalan menuju ke Bazar Ramadan Pekan Ayer Baloi, di sini sesak kira-kira dua kilometer dari kedua-dua arah, petang semalam.
Namun, suasana tersebut turut memeriahkan bazar Ramadan berkenaan apabila ratusan penduduk tempatan menyerbu gerai Zam Ayam Golek bagi mendapatkan juadah tersebut.
Peniaga Zam Ayam Golek, Hairulizam Saat, 54, menyediakan 280 ekor ayam golek yang dipotong empat bagi diberikan kepada 1,000 pelanggan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah memberikan sokongan terhadap perniagaanya sejak 20 tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya dapat berkongsi rezeki dengan pelanggan dan orang ramai di daerah ini sempena bulan yang mulia dan penuh barakah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebelum itu tular dalam media sosial tentang pemberian ayam golek percuma kepada 1,000 pelanggan yang datang awal dan telah berjaya menarik minat orang ramai.
Hairulizam berkata, pemberian ayam golek itu berjalan dengan lancar walaupun orang ramai terpaksa berbaris panjang dan semua yang datang termasuk kanak-kanak mendapat juadah itu.
Sepanjang Ramadan ini Hairulizam masih mengekalkan harga seperti tahun-tahun sebelumnya, iaitu RM26 seekor atau RM13 bagi sebahagian.
Dia membeli terus bekalan ayam daripada pemborong antara 400 hingga 500 ekor untuk kegunaan dua hari bagi membolehkannya mengekalkan harga hidangan istimewa yang mempunyai ramai peminat itu.
Sementara itu seorang pelanggan, Mohd. Khairuddin Abu, 62, sanggup berbaris panjang bagi mendapatkan ayam golek tersebut sebagai juadah berbuka puasa bersama-sama keluarga.
“Saya mendapat maklumat pemberian ayam golek percuma menerusi media sosial dan bergegas ke Pekan Ayer Baloi sejauh 10 kilometer dari rumah di Taman Megah,” jelasnya.
Seorang lagi pelanggan, Jamil Ahmad, 60, mengambil peluang datang ke bazar Ramadan berkenaan apabila dimaklumkan tentang pemberian percuma ayam golek itu. – UTUSAN










