JOHOR BAHRU : Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hari ini menyerbu sebanyak 80 premis perniagaan termasuk rangkaian kedai serbaneka yang dikaitkan dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, operasi bersepadu itu diadakan secara serentak di kesemua 10 daerah di negeri ini.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan penguat kuasa dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor, Pejabat Kadi Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.
“Operasi bersepadu ini adalah langkah agresif dan segera oleh JAINJ sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan kalimah Allah yang perlu sentiasa dimuliakan.
“Operasi pemeriksaan dilakukan secara besar-besaran itu menyasarkan premis yang terkait dngan insiden stoking tertera kalimah Allah dan juga premis serbaneka lain yang menjual pakaian dan alat tulis,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi pemeriksaan bersepadu itu terhadap KK Mart, di sini hari ini.
Pada 13 Mac lalu, negara digemparkan dengan tindakan KK Mart Bandar Sunway, Selangor yang menjual stoking kalimah Allah yang mengundang kemarahan umat Islam negara ini.
Ia turut mengakibatkan polemik berterusan membabitkan Pemuda UMNO yang menggesa supaya rangkaian KK Mart diboikot, manakala DAP dan MCA pula mengkritik tindakan berkenaan yang disifatkan terlalu agresif.
Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, operasi pemantauan itu akan terus dilaksanakan sehingga isu berkenaan reda selain ia diselesaikan pihak berkuasa sepenuhnya.
Operasi itu menunjukkan keseriusan JAINJ membanteras sebarang kecenderungan dan usaha mempersendakan agama Islam dan kalimah Allah.
“Ini juga saya sifatkan amaran paling besar kepada mana-mana pihak termasuk pengeluar produk sama ada individu atau syarikat penerbitan supaya jangan lagi sesekali berani mencabar kemulian agama Islam. Para peniaga bukan Islam jangan bimbang, sekiranya kalian tidak melakukan sebarang kesalahan, berniaga seperti biasa dan patuhi semua syarat yang ditetapkan,” katanya.
Mohd Fared, berkata JAINJ juga akan melaksanakan lebih banyak program kesedaran dan takilmat berkaitan sensitiviti agama yang perlu dijaga.
“Kami bukan sahaja laksanakan penguatkuasaan, malah akan mengadakan lebih program kesedaran termasuk bengkel dengan memanggil semua pemain industri. Begitu juga pihak pengilang dan pengusaha akan dipanggil supaya mereka diberikan taklimat bagaimana seharusnya sensitiviti agama Islam yang perlu dijaga,” katanya. – UTUSAN










