PETALING JAYA: Seorang ibu yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya berusia 16 bulan dengan membancuh susu bercampur syabu, meminta dibicarakan terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tertuduh berusia 34 tahun itu menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada prosiding sebutan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor. Semalam sepatutnya ditetapkan untuk fakta kes dan hukuman.
Sementara itu, suaminya yang berusia 40 tahun mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka berusia setahun empat bulan dengan memberi minum susu bercampur dadah Methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan bayi itu mengalami ‘allegedsympathomimetic drug ingestion’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Medan di sini pukul 6 petang pada 19 Februari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN










