KUALA LUMPUR: Keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) petang esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan Abdul Hadi akan dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada pukul 2.30 petang.
Menurut beliau, pegawai khas kepada pemimpin berkenaan sudah memaklumkan keadaan kesihatan Abdul Hadi kepada polis dan menetapkan keterangan diambil esok.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Razarudin mengesahkan kepada Utusan Malaysia satu siasatan telah dijalankan terhadap Abdul Hadi berhubung kenyataan beliau bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.
SIASATAN
Razarudin berkata, siasatan itu dilakukan di bawah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa
dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau (Abdul Hadi) menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
Ianya dianggap tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu. – UTUSAN










