Getah RM4 sekilogram ‘bonus’ Aidilfitri

Getah RM4 sekilogram ‘bonus’ Aidilfitri

NARMAH Che Dee menunjukkan getah sekerap di kebunnya di Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kenaikan harga getah sekerap kepada RM4 sekilogram sejak seminggu lalu bukan sahaja melegakan golongan pekebun kecil dan penoreh, malah disifatkan sebagai ‘bonus’ buat mereka menjelang Aidilfitri.

Rata-rata penoreh yang ditemui mengakui kenaikan itu membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih selesa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penoreh, Mariam Seman, 46, dari Kampung Baroh Pial berkata, kenaikan itu sangat menggembirakan penoreh kerana harga itu antara tertinggi sejak 2022.

Menurutnya, situasi itu membantu meringankan beban penoreh yang sejak beberapa bulan lalu terpaksa mengikat perut berikutan musim tengkujuh dan harga yang rendah.

“Sebelum ini harga getah sekerap antara RM2.40 hingga RM3.40. Alhamdulillah de­ngan kenaikan ini, dapatlah kami merasa harga getah yang tinggi sedikit dan meraih pendapatan tambahan,” katanya.

Mariam memberitahu, sepanjang Ramadan ini, dia dan rakan-rakan lain terpaksa menoreh pada waktu malam disebabkan cuaca terlalu panas.

“Mahu atau tidak, kami terpaksa bertahan kerana inilah pekerjaan yang mampu dilakukan,” katanya.

Dia berharap kenaikan harga itu bertahan lama kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan golongan penoreh.

Seorang lagi penoreh, Shamsudin Mamat, 60, di Kampung Kepas Apam memberitahu, kenaikan itu mampu mengukuhkan kantung kewangan mereka selepas tidak dapat menoreh akibat musim tengkujuh.

Katanya, di sebalik kenaikan itu, terselit perasaan risau kerana cuaca panas menyebabkan susu getah menjadi cair.

“Keadaan itu menyebabkan kutipan hasil merosot kerana getah lambat beku dan hasilnya kurang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN