Fahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan - Al-Sultan Abdullah - Utusan Malaysia

Fahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan – Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) menandatangani plak perasmian Masjid Al-Muhajirin Kampung Pantos di Lipis, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya memahami tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagai mana dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan negara.

Titah baginda, semua rakyat pelbagai etnik perlu menghormati undang-undang yang termaktub tanpa menimbulkan provokasi yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

“Kita sedia maklum bahawa Malaysia majoritinya penganut beragama Islam manakala agama lain boleh diamalkan.

“Sehubungan itu yang minoriti harus menghormati penganut majoriti manakala yang majoriti tidak pula menekan dan mendesak penganut minoriti demi menjamin keharmonian dan perpaduan kaum,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Al-Muhajirin Kampung Pantos di Kampung Orang Asli Pantos di sini semalam.

Masjid Al-Muhajirin Kampung Pantos masjid ke-14 didirikan di perkampungan Orang Asli di Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat pelbagai kaum harus akur dengan batasan adab supaya masyarakat dapat hidup harmoni, hormat menghormati dan bertoleransi supaya kesejahteraan dapat ditingkatkan.

Baginda turut mengingatkan supaya isu yang remeh temeh tidak diperbesarkan yang boleh memecahkan perpaduan dan keharmorbian yang menjadi pemangkin kemajuan negara.

“Saya harap semua kaum tidak membesar-besarkan perkara yang boleh duduk semeja membincangkan permasalahan sebagai penyelesaian demi kepentingan semua pihak,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam pada itu berbangga apabila semakin ramai orang asli di negeri ini memeluk Islam daripada keseluruhan 80,620 masyarakat pelbagai etnik di Pahang.

Bagaimanapun baginda mengingatkan supaya pengislaman itu bukan paksaan tetapi atas kerelaan diri masing-masing yang mendapat rahmat Allah SWT.

“Tahniah kepada kerajaan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang giat menjalankan gerakan dakwah di negeri ini yang natijahnya semakin ramai memeluk Islam,” titah Al-Sultan Abdullah.

Baginda turut mengingatkan penduduk jati dan Orang Asli memiliki asset di negeri ini terutama projek perumahan yang diwujudkan oleh agensi kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN