ERCL berada di landasan tepat siap ikut jadual

ERCL berada di landasan tepat siap ikut jadual

DARWIS Abdul Razak menyantuni anak-anak yatim pada majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada pada landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 melibatkan jajaran dari Kota Bharu sehingga ke Terminal Bersepadu Gombak.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Sri Darwis Abdul Razak berkata, keyakinan itu berpandukan kepada kemajuan keseluruhan projek tersebut yang sudah mencapai 62.40 peratus setakat Februari lalu melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Menurutnya, keadaan tersebut membawa maksud ERCL akan beroperasi secara rasminya bermula 1 Januari 2027.

“Sementara, jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027.

“Pada masa sama, jajaran ECRL turut melibatkan pembinaan 41 buah terowong dengan jumlah panjang melebihi 62 kilometer (km). Selain itu, laluan itu turut mempunyai jejambat melibatkan jarak sejauh 150 km,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin.

Pada majlis tersebut MRL bersama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Darwis memberitahu, kerja-kerja pembinaan ECRL di negeri ini sudah mencapai kemajuan sebanyak 75.8 peratus.

Katanya, kemajuan itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi pusat dalam menjayakan projek ini walaupun ia melibatkan jarak 43 km sahaja dengan pembinaan dua buah stesen.

“Stesen Kota Bharu telah ditetapkan sebagai stesen penumpang sahaja manakala Stesen Pasir Puteh untuk tujuan penumpang dan kargo,” ujarnya.

Pembinaan Projek ECRL yang sepanjang 665 km melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×