ALOR SETAR: Gangguan bekalan air di negeri ini masih terkawal dengan hanya 1.3 peratus atau 8,000 daripada 645,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) terjejas sepanjang musim kemarau akibat El Nino.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Pengairan dan dan Saliran negeri, Mohamad Yusoff Zakaria berkata, selain itu, SADA turut mengambil inisiatif menambah peruntukan bagi mengatasi masalah bekalan air akibat empangan di seluruh negeri menyusut ketika ini.
“Walaupun agak kronik ketika musim kemarau ini, namun daripada 640,000 akaun hanya 8,000 akaun terjejas berbanding 1,000 akaun sebelum ini.
“Itu meliputi 1.3 peratus sekarang ketika musim kemarau berbanding 0.3 peratus dahulu. Jadi, ia (gangguan bekalan air) terkawal dan boleh diatasi,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan dibangkitkan oleh Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) tentang inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan sumber air mentah mencukupi sepanjang musim kemarau ini.
Mengulas lanjut kata Mohamad Yusoff, SADA turut memperuntukkan hampir RM10 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air termasuk meningkatkan kemudahan seperti menambah tangki air dan lori penghantaran air ke kawasan terjejas. – UTUSAN










