SEREMBAN: Sebanyak 152 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara telah menggunakan Khidmat Sah Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memastikan tiada kesalahan bahasa pada iklan di tempat awam.
Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Roziah Md. Yunus berkata, semua pihak yang memohon permit iklan diwajibkan menggunakan perkhidmatan itu sebagai syarat sebelum permohonan mereka diluluskan.
Beliau berkata, syarat itu bertujuan memastikan pengiklan menggunakan perkataan, istilah dan tatabahasa yang betul untuk dilihat oleh orang ramai.
“Jika terdapat kesalahan maka pihak PBT akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) mereka seperti kompaun dan arahan menurunkan iklan.
“Bentuk tindakan adalah kuasa PBT tetapi lazimnya DBP akan membantu menyemak penggunaan perkataan dan ejaan dalam bahasa Melayu selain memastikan bahasa Melayu diutamakan daripada segi saiz huruf dan kedudukan pada iklan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial anjuran Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. (RHSM) bersama DBP serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini semalam.
Roziah menjadi salah seorang ahli panel forum berkenaan bersama pengacara, personaliti televisyen dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya.
Yang turut hadir, Pengerusi RHSM, Dr. Zaharudin Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif RHSM, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Sahabudin.
Roziah berkata, banyak aduan mengenai kesalahan bahasa pada iklan terutamanya pada papan iklan luar telah diterima oleh PBT dan DBP termasuk yang tular melalui media sosial.
Jelasnya, semua aduan itu telah diambil tindakan oleh PBT yang terlibat.
“Orang awam turut memainkan peranan membuat aduan apabila mengesan kesalahan itu dengan melaporkannya kepada PBT,” katanya.-UTUSAN.









