Dadah jadi sumber tenaga nelayan sebelum ke laut

Dadah jadi sumber tenaga nelayan sebelum ke laut

ANGGOTA Maritim Malaysia Kelantan melakukan pemeriksaan keatas sebuah bot nelayan di kawasan perairan Malaysia di Kelantan semalam-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mendedahkan ada dalam kalangan nelayan di negeri ini menjadikan dadah sebagai sumber tenaga sebelum turun ke laut untuk menangkap ikan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, maklumat tersebut hasil tangkapan yang dilakukan Maritim Kelantan menerusi Ops Bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, kebanyakan nelayan yang ditahan itu terlibat dengan penyalagunaan dadah jenis methamphetamine.

“Setakat tahun ini bermula Januari hingga Mac, kita telah menahan 11 orang nelayan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah hasil Ops Bersepadu.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun,” katanya kepada pemberita pada Program Liputan Media Bersama Maritim Kelantan sempena Ramadan di perairan Kelantan semalam.

Amiludin memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah-dadah tersebut diperoleh dari pengedar yang membekalkan bahan terlarang kepada golongan nelayan.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus berusaha mengekang kemasukan dadah ke negara ini melalui jalan laut dengan memperketatkan kawalan di sepanjang perairan negara.

“Secara umumnya kemasukan dadah tidak hanya tertumpu kepada laut sahaja, ia turut melibatkan kawasan darat berpandukan kepada maklumat yang kami terima.

“Selain dadah, kita turut memberikan fokus kepada usaha mengekang anasir-anasir jahat daripada masuk sekali gus memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×