KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan diingatkan supaya berhenti menipu rakyat negeri ini termasuk menabur janji-janji kosong mengatakan masalah air selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, hal ini kerana tiada gambaran perancangan yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah tersebut secara tuntas.
Menurutnya, beliau melihat janji-janji tersebut seperti ‘gula-gula’ kerana Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dijangka berlaku pada tahun 2027.
“Sudah-sudahlah…jangan lagi menanam tebu dibibir mulut. Lebih 30 tahun Kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Pas gagal menyelesaikan masalah tersebut sehingga hari ini.
“Cukuplah perbodohkan isu yang sama kepada penduduk dengan harapan palsu kerana ia tidak pernah menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian UMNO Kelantan, di sini, hari ini.
Ahmad Jazlan memberitahu, beliau berharap rakyat Kelantan sedar dan tidak lagi tertipu dengan janji palsu yang dibuat oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan turut menggesa supaya Kerajaan Kelantan mengambil langkah segera menyelesaikan masalah air sempena Aidilfitri ini.
Katanya, beliau tidak mahu masalah itu terus berlaku sekali gus menjejaskan rakyat untuk meraikan hari lebakaran tersebut.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan memberi jaminan masalah air yang menghantui penduduk di negeri ini lebih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada 2027 nanti.
Pengerusi Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, hasrat itu mampu direalisasikan apabila semua loji-loji air yang dalam kerja-kerja naik taraf dan bina baharu akan siap sepenuhnya pada tahun tersebut.










