PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan semua institusi pendidikan untuk memberi pertimbangan kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas ketika ini.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan, semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan jika cuaca terlalu panas.
Katanya, perkara itu antara langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangka.
“Langkah itu berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing sebagai mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan sentiasa mengikuti garis panduan yang ditetapkan dan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing,” kata kenyataan tersebut.
KPM berkata, bekalan air minuman bersih mestilah mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam.
“Air minuman kepada murid asrama hendaklah dibekalkan sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman,” katanya.
Pada masa sama, semua pihak perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas. – UTUSAN










