KUANTAN: Kerajaan perlu mengetahui dengan tepat data pelarian yang ada di negara ini sebelum mengambil mereka sebagai tenaga kerja di pelbagai sektor.
Mengikut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) jumlah perlarian di negara ini sehingga Januari lalu seramai 186,490 pelarian termasuk pencari suaka berdaftar dengan UNHCR.
Myanmar paling ramai 163,630 orang manakala bakinya kira-kira 22,860 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara seperti Pakistan, Yemen, Afghanistan, Somalia dan Syria.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan menjadikan pelarian sebagai sumber tenaga kerja di negara ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, usaha itu memerlukan pengurusan yang tepat dan komitmen tinggi untuk memantau serta menjejaki aktiviti pelarian terbabit demi memastikan keselamatan negara.
“Di samping itu, tuntutan hidup mereka (pelarian) perlu diuruskan dengan lebih berkesan dan mereka juga perlu didaftarkan dengan betul serta lokasi mereka akan direkodkan dan mencegah mereka melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” kata beliau.

Zuhairi berkata, membenarkan pelarian untuk bekerja di negara ini merupakan usaha terpuji dan dipandang tinggi terutama dalam konteks kemanusiaan jika perkara itu dilaksanakan kerajaan Pusat.
Jelasnya, usaha itu juga akan membantu pemegang kad UNHCR terlibat memperoleh sumber pendapatan sebelum mereka dipindahkan ke negara ketiga. – UTUSAN











