Buruh dipercayai 'tokan' dadah ditangkap - Utusan Malaysia

Buruh dipercayai ‘tokan’ dadah ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tiga lelaki dipercayai pengedar dadah ditangkap polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, bertindak atas maklumat, polis telah menyerbu rumah yang dihuni tiga buruh berkenaan kira-kira pukul 11.45 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai 23 peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis Heroin anggaran berat 30 gram dan sepeket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis Syabu anggaran berat 0.30 gram. 

“Dalam serbuan ini, nilai rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM800 dan hasil siasatan awal mendapati dadah tersebut untuk dijual dalam pasaran sekitar Tampin.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Amiruddien lagi, hasil ujian saringan awal air kencing dapati kesemua suspek berusia 36 hingga 47 tahun itu positif dadah jenis morfin.

Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×