Bersatu, Pas bantu Gerakan tarik sokongan bukan Melayu

Bersatu, Pas bantu Gerakan tarik sokongan bukan Melayu

Tarik diri PRN, Gerakan gantung Jawatankuasa Perhubungan Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan membantu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menarik sokongan bukan Melayu untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, ini kerana Bersatu dan Pas masing-masing mempunyai Sayap Bersekutu dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

“Kita PN parti baharu, tidak sama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), namun, Bersatu mempunyai satu sayap dinamakan Sayap Bersekutu dan sayap ini dike­tuai oleh mereka yang berbangsa Cina.

“Sayap ini mempunyai keah­lian dan cawangan di seluruh negara, manakala Pas ada Kelab penyokong (DHPP) serta ditubuhkan begitu lama yang terdiri daripada orang Cina dan India,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan beberapa penganalisis politik bahawa PN memerlukan pembaharuan dengan melakukan kerjasama politik dengan parti lain sekiranya mahu menarik undi bukan Melayu menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ini kerana mereka berpendapat, Gerakan kini dilihat tidak mampu memainkan peranan untuk menarik undi kumpulan bukan Melayu.

Dalam pada itu, Razali berkata, PN akan menggerak lebih strategik untuk menarik lebih banyak lagi pengundi Melayu.

SOKONGAN

Katanya, ini kerana sokongan pengundi kumpulan itu pada pilihan raya lepas belum mencapai tahap yang disasarkan.

“Jadi, pendekatan adalah macam mana menggerakkan strategi teruskan agenda kita. Mungkin kita akan membaca lagi cara-cara strategi macam mana sokongan Melayu ini.

“Pertama, fokus negeri PN memerintah sebab sokongan Melayu jadi kurang kepada PN kerana salah faham disebabkan dakwaan fanatik islamofobia, taliban dan ini semua kita kena betulkan kerana itu pemboho­ngan politik yang mainkan isu keterlaluan.

“Jadi, strategi-strategi ini membawa orang Cina dari ne­geri PH datang ke Terengganu, Kelantan serta Kedah untuk lihat sendiri kestabilan di negeri pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Gerakan menyifatkan, amat tidak adil jika mana-mana pihak mengaitkan parti itu tidak dapat membawa perubahan dalam anjakan pe­ngundi bukan Melayu kepada PN.

Setiausaha Agungnya, Loh Kah Yong berkata, semua melihat kemampuan Gerakan menarik undi bukan Melayu dari perspektif andaian semata-matanya.

Beliau mengakui, Gerakan menerima tamparan yang agak kuat sebelum ini daripada sejumlah pengundi bukan Melayu ke atas kekhilafannya kurang memahami sentimen dan ke­perluan masyarakat.

“Akan tetapi, pasca 2018, terutamanya dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, Gerakan telah memperlihatkan peralihan undi bukan Melayu yang agak signifikan kepada partinya.

“Kita berjaya menambah undi dalam Pusat Daerah Me­ngundi (PDM) bukan Melayu, kita berjaya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita berjaya meletakkan wakil kita dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dalam setiap pendekatan kita dengan masyarakat bukan Melayu, satu mesej yang agak kuat didengari adalah, Gerakan mampu bangkit semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN