PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar meminta semua pihak memberi ruang kepadanya sebelum mengambil sebarang langkah ekoran keputusan penurunan pangkatnya minggu lalu.
Katanya, beliau masih bercuti yang berakhir pada minggu depan setelah menerima keputusan mengejut tersebut.
“Buat masa ini, saya enggan beri komen lebih lanjut tentang masa depan kerjaya dan minta semua pihak beri ruang sebelum buat keputusan lanjut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, tular dalam media sosial surat bertarikh 22 Februari lalu yang memaklumkan penamatan khidmat Ammar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkuat kuasa pada 26 Februari ini.
Surat tersebut menyatakan, penamatan itu selaras dengan peruntukan subsekyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 dibaca bersama dengan peruntukan seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan, Ammar diturunkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah atas alasan prestasi tidak memuaskan.
Ketika ditanya sama ada ditukarkan jabatan atau agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Ammar enggan lanjut berhubung perkara itu.
Beliau kemudian menjelaskan dirinya bukanlah seorang lantikan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), sebaliknya penjawat awam yang berkhidmat di badan berkanun.
Dalam pada itu, beliau menghargai sokongan pelbagai pihak terhadapnya.
“Sejak minggu lalu, saya menerima panggilan dan mesej pelbagai pihak. Terima kasih atas sokongan ini,” katanya.
Ammar yang pernah mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Gelembung Perjalanan bagi memacu usaha pemulihan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkuat kuasa 12 April 2023.











